Mencari Cinta Ilahi

Wahai Umat Manusia,

Hari Pembebasan telah tiba, marilah kita, berpimpin tangan kembali kepada jalan yang benar, jalan yang membawa kita kepada Tuhan, pencipta kita iaitu ALLAH SWT. Jalan selamat untuk umat manusia hari ini hanyalah dengan kembali kepadaNya.

Setiap umat manusia memiliki naluri mendalam di hati mereka untuk mencintai Pencipta mereka dan untuk mengenaliNya. Ini disebabkan sewaktu di alam roh manusia telah tahu dan mengenali ALLAH SWT. Namun keinginan ini kekadang tidak dapat menjadi kenyataan lantaran halangan dari Iblis. Bagaimanapun, ada pula manusia yang cuba mencari Tuhan dengan lain-lain cara mudah-mudahan dapat mencintaiNya. Ada yang mencari Tuhan melalui syair-syair, tarian, lukisan, di alam semulajadi ataupun dengan sedikit bekalan menghilangkan diri di bukit-bukit dan gunung-gunung mengasingkan diri atau ada pula berkhidmat untuk masyarakat setempatnya. Bagaimanapun, impian dan cita-cita tidak akan tercapai walaupun ada yang merasakan mereka telah menemui Tuhan kerana hakikatnya mereka telah terpedaya dengan tipu helah iblis. Ini kerana jalan kepada ALLAH SWT hanya terdapat di dalam AgamaNya.

Wahai Umat Manusia di Kurun Ke 15 ini, marilah kita bersama-sama menuju ALLAH SWT dan CintaNya. Ketahuilah bahawa ALLAH SWT mencintai kita melebihi kasih sayang ibubapa kita terhadap kita. ALLAH SWT telah mencipta kita manusia sebagai makhluk yang paling mulia dan kemudian memperelokkan kita dan kemudian menganugerahkan kita dengan lima deria dan kekuatan juga hawa nafsu semula jadi. Dunia ini pula telah dihiasi serta dilengkapi dengan kekayaan dan kemudahan supaya manusia boleh meneruskan kehidupan dengan selesa dan puashati. Supaya manusia boleh memenuhi keinginan untuk bertemu ALLAH SWT dan memperoleh CintaNya. ALLAH SWT telah mengutus para Nabi dan Rasul untuk memperkenalkan Dia kepada manusia dan mengetahui siapa Dia, Zat yang layak disembah dan dicintai dan juga menunjukkan jalan menujuNya. Dengan ini ALLAH telah menyelamatkan kita semua dari tipu helah iblis.

Begitu hebat nikmat ALLAH SWT telah anugerahkan kepada kita kerana cinta Dia kepada kita. Ibaratnya bila manusia melakukan kebaikan kepada kita, kita akan berterima kasih kepada mereka dan mengingati mereka serta menyayangi mereka. Bila saja bertemu mereka kita akan terkenangkan jasa baik mereka pada kita. Maka adakah patut kita melupai Zat yang sentiasa baik dan paling menyayangi kita. Semestinya tidak.

Dengan itu marilah kita ambil langkah pertama menuju ALLAH SWT demi mendapatkan CintaNya. Untuk tujuan ini kami akan mengembara ke setiap pelosok/ceruk dunia untuk mengajak manusia supaya kembali ke jalan ALLAH SWT. Mudah-mudahan kita dapat boleh menghilangkan dahaga dengan secawan Cinta Ilahi.