Cahaya Kebenaran

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

اَلْحَمْدُللهِ الَّذِى هَدَنَا لِهَذَا وَمَاكُنَّا لِنَهْتَدِى لَوْ هَدَنَاالله ُ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلٰى سَيْدِنَا مُحَمَّدٍ سَيِّدُ الاَنْبِيَآءِ وَالْمُرْسَلِيْنَ وَعَلٰى اٰلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ أَمَّابَعْدُ.

Segala pujian bagi ALLAH, Tuhan kita, Tuhan sekalian alam semesta yang telah mengutuskan para Nabi dan RasulNya bagi keselamatan umat manusia di dunia dan akhirat . Salawat dan salam atas junjungan besar kita Nabi Muhammad ibni Abdullah, rasul yang terakhir dan penutup sekalian Nabi dan Rasul ALLAH Yang Maha Agung yang telah didatangkan sebagai rahmat kepada sekalian alam dan juga ke atas keluarga dan para sahabat.

Wahai umat manusia! Dengarlah! Dimana juga anda berada, dengarlah dengan teliti apa yang akan saya perkatakan. Hari ini saya berdiri di depan anda dengan cuma satu niat iaitu untuk memperingatkan dan menyeru kembali saudara kepada misi sekalian Nabi-nabi yang telah lama dilupakan dan salah faham, misi menyelamatkan umat manusia dan sekalian ciptaan.

Ketahuilah bahawa kita umat manusia tanpa mengira keturunan, bahasa, warna kulit dan bangsa adalah bersaudara. Kita berasal dari satu sumber yakni Nabi Adam (AS) dan isterinya Sitti Hawa. Dengan itu umat manusia harus saling mengambil berat dan sayang menyayangi. Dengan ini kami merasakan bahawa ia adalah tanggungjawab kami untuk menghidupkan kembali misi keselamatan ini kerana kita umat manusia sedang menuju kehancuran bersama dengan sekalian ciptaan.

Hari ini kita umat manusia sudah berada di ambang kehancuran. Kejahatan telah menguasai dunia ini. Di mana-mana kuasa jahat telah mengatasi kebaikan. Ini bererti bahawa kita telah menyimpang daripada jalan yang benar.

Adakah kita umat manusia telah dengan sengaja menutup telinga kita, tidak menghiraukan, tidak tersentuh dan tidak terharu dengan tangisan anak-anak kecil yang kelaparan, dengan air mata dan raungan kanak-kanak dan ibu-ibu dan mereka yang di dalam kesakitan dan kesusahan, dan mereka yang hidup di dalam berbagai ketakutan dan dihantui pula oleh ketakutan ini. Mereka bangun setiap hari dengan berharapan ada belas kasihan dan pertolongan dari negeri-negeri lain. Malangnya harapan tinggal harapan. Apa yang tinggal cuma kekecewaan yang menemani mereka hingga ke malam. Tidur di atas tanah, berselimutkan embun di dalam kegelapan malam. Beginilah kehidupan sesetengah manusia di bahagian-bahagian lain dunia terutamanya orang-orang miskin dikalangan pelarian di khemah-khemah pelarian.

Lihatlah keliling kita, berapa ramai manusia yang disiksa dan dizalimi. Yang kuat menindas yang lemah atas nama kekuasaan. Yang kaya mengejar kekayaan dengan apa cara, sekalipun haram bagi mencapai cita-cita mereka. Pemimpin-pemimpin mencari kuasa, kesenangan, kemewahan, nama dan kemasyhuran. Apa yang penting kepada mereka ialah kuasa dan kekayaan dan mereka akan berusaha gigih dengan apa carapun untuk mengekalkan kekuasaan mereka. Orang-orang ramai pula menderita.

Manakala diskriminasi dan fanatisme atas dasar warna kulit dan keturunan etnik dianggap sebagai pejuangan suci, disokong dan digalakan. Hasilnya, hilanglah perpaduan dan persaudaraan. Kepentingan diri dianggap sebagai nilai yang positif. Dengan itu, selama ada wang dipoket, semua orang sudi berkawan. Perbuatan-perbuatan kekerasan, perang saudara, kacau bilau, perhimpunan dan tunjuk perasaan dan perang yang berpanjangan meletus di sana sini, semuanya diisytihar atas nama keadilan, kemanusian dan agama. Berbagai pihak menegaskan kebenaran masing-masing dan adalah tanggungjawab mereka untuk menegakkan keadilan. Perang berterusan seperti tiada penghujungnya. Walhasil ramailah orang yang terkorban, harta benda musnah dan berbagai kerosakan yang lain.

Wahai saudaraku! Pernahkah kamu merenung ke dalam mata yang kosong tanpa harapan. Inilah saudara kita yang ditimpa penyakit-penyakit yang pelik dan misteri seperti AIDS dan selsema burung. Para doctor dan saintis telah menemui jalan buntu dalam mencari penawar dan jawapan. Walhasil, pesakit-pesakit ini hilang harapan untuk sembuh. Hanya menghitung hari akan datangnya ajal.

Dunia yang indah menjadi tempat kediaman kita ini telah menanggung berbagai bencana dan kemusnahan yang menggugat manusia di seluruh dunia. Banjir seringkali terjadi, ribut melanda bertukar-tukar nama, dan di tempat lain kemarau berterusan sehingga menyebabkan kebakaran hutan dan telah mengorbankan haiwan dan tumbuh-tumbuhan, beberapa siri gempa bumi turut berlaku, letupan gunung berapi yang memuntahkan lava dan debu telah merubah wajah dunia ini menjadi padang jarak. Yang paling digeruni, Tsunami telah melanda sehingga menelan beratus ribu nyawa dan harta benda dalam sekelip mata menjadikan bumi ini gersang. Sepertinya dunia ini sebuah bom jangka masa yang akan meletup bila-bila masa atau jerangkap samar yang ditanam dimerata tempat menunggu mangsanya. Alangkah malangnya dunia ini.

Mengapakah peperangan-peperangan, bencana alam dan penyakit-penyakit ganjil ini menimpa umat manusia? Jawanpannya adalah kerana hilangnya kasih sayang di antara kita.

Mengapakah ini terjadi? Jawapannya adalah kerana kita manusia sudah tidak kenal siapakah Pencipta kita yang sebenar yang layak disembah, siapakah Dia yang telah menjadikan kita dan sekalian alam. Siapakah ALLAH, Yang Maha Agung.

Sudahkah kita lupa bahawa bumi ini kepunyaan ALLAH, Yang maha Agung? Jadi mengapa kita membuat kerosakan dan kemungkaran dengan sewenang-wenangnya, yang mencetuskan huru hara, kacau bilau di laut dan di darat, menjadikan dunia ini ibarat neraka, tempat yang buruk untuk didiami?

Tidakkah kita sedar bahawa kita semua adalah hamba ALLAH Yang Maha Tinggi/Esa? Disisi Tuhan kita adalah semua sama. Dengan itu mengapa kita menindas dan menzalimi orang lain seolah-olah mereka itu hamba kita, mengapa sesetengah bangsa memandang hina pada bangsa yang lainnya? Mengapa wujud pengasingan dan diskriminasi lantaran warna kulit yang berbeza.

Tidakkah kita menyedari bahawa apa-apa yang terkandung di dunia ini sperti binatang-binatang, tumbuh-tumbuhan dan benda-benda mati lain adalah merupakan makhluk yang telah diciptakan oleh ALLAH SWT, dimana pengawasan ke atas mereka telah diamanahkan kepada kita? Jadi mengapakah kita menyalahguna, menyakiti dan tidak peduli akan mereka?

Tidakkah kita manusia menyedari dan memahami bahawa apa saja yang kita miliki berupa kekayaan, wang ringgit dan harta benda semuanya milik ALLAH, Yang Maha Tinggi? Bila-bila waktu saja ALLAH boleh merampasnya kembali dari kita. Jadi mengapa kita sombong, berbanga dan kedekut seperti ianya semua milik kita dan kita tidak akan dipertanggungjawabkan untuknya di Hari Pembalasan kelak? Di tempat-tempat lain manusia maut setiap hari akibat kelaparan tetapi kita malah keberatan menghulurkan bantuan dengan apa yang kita miliki.

Tidakkah kita sedar bahawa segala ilmu, kebijaksanaan dan kefahaman yang kita miliki semuanya pemberian ALLAH Yang Maha Agung. Mengapa kita takbur dan menyalahguna pemberian ini dengan mencipta pelbagai ciptaan yang merosakan bumi dan umat manusia hanya semata-mata untuk menguasai kaum atau bangsa lain dan demi kepentingan, keuntungan dan kekayaan sendiri.

Tidakkah kita sedar bahawa pangkat, kedudukan dan kuasa memerintah semuanya adalah anugerah dan amanah ALLAH SWT kepada kita. Jadi mengapakah kita sewenang-wenangnya menindas, menzalimi dan menyiksa mereka yang di bawah jagaan kita. Sebagai contoh negara-negara berkuasa besar dunia menindas dan menguasai negara-negara dunia ketiga.

Tidakkah kita sedari bahawa maruah, prestij dan kehidupan yang kita miliki ada harta yang sangat bernilai yang telah dianugerahkan oleh ALLAH SWT kepada kita? Jadi mengapa kita sewenang-wenangnya menghina kaum lain dan memandang rendah pada mereka, mengambil nyawa mereka tanpa belas kasihan dan sebab yang sah. Kita berbunuhan disebabkan permusuhan, kebencian, tamak dan keuntungan dan kepentingan sendiri.

Oleh kerana bumi ini milik ALLAH Yang Maha Agung maka hanya Dia yang berhak mencipta Undang-undang dan Peraturan mentadbir alam semesta ini tetapi mengapa ada dikalangan kita yang berbuat seperti Tuhan seperti Firaun sehingga kita mencipta undang-undang dan peraturan sendiri untuk mentadbir alam ini seolah-olah ianya milik kita. Kita merasa seolah-olah kitalah yang paling berkuasa, mengetahui segala sesuatu, bijaksana dan bijak dalam menyelesaikan masalah. Kita sangat-sangat yakin bahawa apa yang kita ingini dan rancangkan akan terlaksana dan tiada yang boleh menghalang kita seolah-olah Tuhan tidak lagi wujud.

Mengapa kita benarkan diri kita dipengaruhi, disesatkan dan ditipu oleh syaitan sedangkan dia bertanggungjawab menyebabkan Nabi Adam dan Sitti Hawa terusir dari syurga dan dibuang ke dunia. Disebabkan oleh Nabi Adam pula syaitan telah dilaknat dan dihalaukan ke dunia. Disebabkan permusuhan ini, syaitan telah bersumpah akan membalas dendam ke atas anak-anak Nabi Adam dengan menyesatkan kita dari landasan kebenaran supaya kita juga akan dilaknat seperti syaitan itu sendiri.

Wahai saudara-saudaraku dari keturunan yang sama, sedarlah dan bangkitlah dari tidur supaya kita boleh nampak cahaya kebenaran. Kita manusia sudah jauh menyimpang dan sedang menuju kehancuran berserta sekalian ciptaan.

Satu-satunya jalan selamat bagi umat manusia adalah dengan menjejaki kembali langkah kita dan pulang ke jalan yang benar, jalan yang membawa kita kepada ALLAH. Kita harus kembali kepada pencipta kita yang sebenar iaitu ALLAH Yang Maha Esa dengan bertaubat dan menyerahkan diri kita kepada AgamaNya dengan menerima dan mematuhi segala Undang-undang dan Peraturan yang terkandung di dalam agamaNya.

Undang-undang dan Peraturan Tuhan sesungguhnya berdasarkan kasih sayang dan belas kasihan dan satu-satunya jalan selamat bagi umat manusia dunia dan akhirat . ALLAH SWT telah mengutuskan para Nabi dan Rasul untuk menyampaikan AgamaNya supaya manusia boleh berhijrah dari kegelapan kepada cahaya. Dengan itu keadilan boleh dicapai dan keamanan serta kasih sayang boleh disebarkan berpandukan Undang-undang dan Peraturan ALLAH.

Inilah misi sekalian para Nabi dan Rasul yang telah lama dilupakan dan disalahfahamkan oleh ramai manusia. Kini, kami merasakan sudah tiba waktunya kami berdiri dan mengisytiharkan misi ini kembali kepada seluruh alam dengan harapan seluruh negara dan penghuni di planet ini boleh mendengar seruan kami.

Kami berharap melalui cara ini dan dengan izin ALLAH Yang Maha Besar akan wujud kembali keamanan, kasih sayang dan keadilan di seluruh dunia.

ALLAH SWT berfirman dalam Surah Az Zumar Ayat 54:

وَأَنِيبُوا إِلَى رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا لَهُ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لاَ تُنصَرُونَ

“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan mu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong lagi.”

Ya ALLAH! Tuhan sekalian alam, ampunilah dosa dan kesalahan kami dan memohon petunjuk akan Dikau agar semua umat manusia dijauhkan dari segala bahaya dunia dan akhirat. Ya Allah! Ya Tuhan kami, Engkaulah yang menciptakan kami, maka berilah kami taufik agar dapat berbuat kebajikan.

Ya ALLAH! Ya Tuhan kami, kepada orang-orang kafir berilah mereka petunjuk agar masuk Agama Islam, orang yang sempit rezeki luaskanlah rezekinya, orang yang sakit sihatkanlah, orang yang dalam kesusahan senangkanlah, orang yang sesat kembalikanlah ke jalan yang benar yang Engkau redhai.

Mudah-mudahan semua umat manusia selamat di dunia dan akhirat.


Mesej - Cahaya Kebenaran Bahagian 1


Mesej - Cahaya Kebenaran Bahagian 2