Menyingkap Kebenaran

اَلْحَمْدُللهِ الَّذِى أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا.

وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ خَاتَمِ اْلأَنْبِيَآءِ وَمُرْسَلِيْنَ اَلْمَبْعُوْثِ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِيْنَ وَعَلَى اٰلِهِ وَصَحْبِهِ ذَوِى الْفَصَآئِلِ وَالْكَرَامَاتِ أَمَّا بَعْدُ.

Saudara-saudara sekalian !

Segala puji bagi Allah SWT yang telah mengutus Nabi SAW dengan membawa agama yang benar untuk mengatasi segala agama. Salawat dan salam ke atas junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW penghulu serta penutup bagi sekalian nabi dan rasul yang telah diutus sebagai rahmat bagi sekalian alam. Begitu juga salawat dan salam ke atas keluarga serta para sahabat Baginda yang mempunyai kelebihan dan kemuliaan.

Saudara saudari sekalian !

Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana pada hari ini kita dapat berkumpul di tempat ini semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT. Hari ini saya ingin memperkatakan sesuatu yang menyentuh keadaan umat Islam hari ini serta kebenaran di kurun ke 15 hijrah ini.

Ada suatu persoalan yang sering menjadi tajuk bualan serta perbahasan para alim ulama serta pemimpin Islam iaitu :

Kenapakah umat Islam hari ini tidak lagi disegani dan dihormati bahkan menjadi hina di mana sahaja mereka berada hatta di negara mereka sendiri ?

Apakah menyebabkan demikian ? Banyak pendapat telah diutarakan dan dikemukakan oleh para ulama dan pemimpin Islam. Tetapi pendapat yang termasyur, bahawa yang menyebabkan umat Islam hina serta tidak disegani lagi ialah:

1. kegagalan menguasai ilmu berupa fardhu kifayah
2. kesalahfahaman terhadap konsep ibadat dalam Islam

Semua ini kata mereka menyebabkan umat Islam mundur serta miskin dengan demikian umat Islam telah menjadi hina, ditindas, dijajah dan tidak disegani lagi.

Benar atau tidak pendapat ini hendaklah kita merujuk kembali kepada Al-Quran dan As-sunnah untuk mendapat jawapan tepat. Marilah kita lihat Firman Allah dalam Surah Ali- Imran ayat 112 :

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّ لَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوۤاْ إِلاَّ بِحَبْلٍ مِّنْ اللهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ

“ Mereka diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali ( agama ) Allah dan tali (perhubungan) dengan manusia”.

Dalam Ayat ini Allah SWT menegaskan bahawa umat Islam akan ditimpa kehinaan dimana sahaja mereka berada selagi mereka tidak berpegang teguh dengan AgamaNya ( Agama Islam ) dan memperbaiki hubungannya dengan manusia.

Hari ini tidak ada satu pun negara Islam yang benar-benar melaksanakan undang-undang dan peraturan Agama Islam secara menyeluruh ( syumul ) dalam pemerintahan mereka. Apa yang wujud ialah pemerintah Islam ala demokrasi atau sosialisma iaitu mencampur- adukkan undang-undang Islam dengan undang-undang buatan manusia. Ini kerana umat Islam tidak yakin lagi dengan undang-undang Allah S.W.T. Perlaksanaan undang-undang dan peraturan Islam sudah tidak menyeluruh lagi tetapi hanya pada bidang-bidang tertentu sahaja. Mereka mengambil sebahagian daripada undang-undang Islam mana yang sesuai dengan penafsiran serta penilaian mereka dan meninggalkan sebahagian yang mereka anggap tidak sesuai lagi dengan masa dan keadaan. Inilah yang menyebabkan umat Islam menjadi hina seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 85 :

أَفَتُؤمِنُونَ بِبَعضِ الكِتٰبِ وَتَكفُرُونَ بِبَعضٍ فَمَا جَزَآءُ مَن يَفعَلُ ذٰلِكَ مِنكُم إِلاَّ خِزىٌ فِى الْحَيَوةِ الدُّنيَا وَيَومَ القِيٰمَةِ يُرَدُّونَ إِلٰى أَشَدِّ العَذَابِ وَمَا الله ُ بِغٰفِلٍ عَمَّا تَعمَلُونَ

“ Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”

Kenapa umat Islam hari ini kurang yakin lagi dengan undang-undang Islam ? sebabnya umat Islam hampir keseluruhannya tidak lagi memahami apakah sebenarnya Agama Islam itu,

Kenapa demikian sebab telah timbul berbagai golongan dalam Islam yang mempunyai berbagai fahaman yang bertentangan satu dengan lain yang menyebabkan perpecahan dan kekeliruan dalam Islam yang paling merbahaya ialah golongan yang mempunyai fahaman anti mazhab dan tasawwuf.

Konsep anti mazhab menyebabkan umat Islam bebas berfikir dan berani mempersoalkan ajaran Islam terutama hukum Syara' yang telah disusun oleh empat Imam mazhab dalam Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Ini mempermudah-mudahkan ajaran Islam mengikut tafsiran mereka.

Lahirlah berbagai pendapat membawa kepada perpecahaan serta kekeliruan.

Mereka mendakwa bahawa ulama Islam terdahulu meniti beratkan ilmu fardhu Ain mengabaikan ilmu berupa fardhu kifayah seperti yang dipelopori oleh cendikiawan Islam ketika itu seperti

Ibnu Rusydi dan Al Farabi - bidang Falsafah,

Ibnu Aflah dan Al Zarqiyali - bidang astronomi,

Ibnu Sina dan Al Razi - bidang perubatan,

Al Khawarizmi - bidang Matematik,

Al Kindi - bidang optik

Ilmu ini telah beralih tangan kepada orang-orang bukan Islam dan akhirnya menguasainya menyebabkan mereka menguasai bidang perubatan,ekonomi, teknologi dan ketenteraan sehingga umat Islam terpaksa bergantung nasib dengan mereka dalam bidang tersebut.

Tambahan pula kata mereka umat Islam hari ini telah salahfaham terhadap konsep ibadat dalam Islam dengan menganggap bahawa yang dikatakan ibadat itu ialah sembahyang, zikir, berpuasa, naik haji sahaja. Sedangkan kata mereka ibadat itu merangkumi semua aspek kehidupan manusia disemua jurusan menyebabkan umat Islam tidak melibatkan diri dalam bidang-bidang tersebut secara aktif. ketinggalan dalam semua bidang hingga menjadi hina, lemah serta ditindas.

Kalau mahu Islam dimuliakan oleh umat-umat yang lain hendaklah Umat Islam itu sendiri memiliki ilmu pengetahuan agar dapat bersaing dalam kemajuan dunia.

- mengsyorkan menafsir semula ajaran Islam yang terkandung dalam Al-Quran agar sesuai dengan masa dan keadaan serta tempat dengan membuka pintu ijtihad.
- melakukan penilaian baru terhadap Agama Islam dengan menitikberatkan kemajuan duniawi dengan cara penguasaan ilmu fardu kifayah dalam semua bidang setanding dengan bangsa-bangsa lain.
- Ilmu fardhu kifayah menjadikan seseorang mengenal dunia dan segala nikmatnya dengan lebih dekat lagi. Firman Allah S.W.T dalam Surah Ar-Rum ayat 7 :

يَعْلَمُونَ ظَاهِرًا مِّنَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ عَنِ اْلآخِرَةِ هُمْ غَافِلُونَ

“Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dari kehidupan dunia, sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai”.

- Ini menyebabkan seseorang memilih dunia daripada akhirat sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-A’la ayat 16- 17 :

بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَوٰةَ الدُّنْيَا  وَاْلآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ 

“ Tetapi kamu memilih kehidupan dunia sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal”.

Nabi SAW pernah bersabda akan datang kepada umatnya satu zaman dimana mereka akan mencintai 5 perkara dan melupai 5 perkara. Diantaranya ialah

يُحِبُّوْنَ الدُّنْيَا وَيَنْسَوْنَ اْلأَخِرَةَ

“Mereka mencintai dunia dan melupakan akhirat”

- Ketahuilah cinta dunia itu adalah pangkal segala kejahatan seperti sabda Nabi S.A.W .

حُبُّ الدُّنْيَا رَأْسُ كُلِّ خَطِيْئَةٍ

“ Bemula cintakan dunia itu kepala bagi segala kesalahan dan kejahatan”. Hasil daripada penitikan berat ilmu fardhu kifayah tanpa latihan kerohanian menyebabkan umat Islam berlumba-lumba mencari harta kekayaan, pangkat dan kedudukkan - menyebabkan hilangnya kasih sayang maka hilanglah perpaduan sebenarnya di kalangan Umat Islam.

- Sebenarnya bukan kemiskinan tetapi harta kekayaan, pangkat dan kedudukanlah yang menyebabkan umat Islam menjadi hancur dan hina sebagaimana sabda Nabi S.A.W:

فَوَاللهِ مَاالْفَقْرُ أَخْشَى عَلَيْكُمْ . وَلٰكِنِّى أَخْشَى أَنْ يُبْسَطَ الدُّنْيَا عَلَيْكُمْ كَمَا يُسِطَتْ عَلىَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ فَتَنَافَسُوْهَا كََمَاتَنَافَسُوهَا وَتُهْلِكُكُمْ كَمَا أَهْلَكَتْهُمْ .

“ Demi Allah, bukan kefakiran aku takuti ke atas kamu sekalian tetapi aku takuti akan dibentangkan dunia ke atas kamu sebagaimana telah dibentangkan ke atas mereka sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba untuk memilikinya sebagaimana mereka berlumba-lumba dan ia akan menghancurkan kamu sebagaimana ia telah menghancurkan mereka”. (HR Bukhari, Muslim, At-Termizi, Ibnu Majah dan Ahmad)

Sabda Nabi S.A.W:

إِذَا عَظَّمَتْ اُمَّتِى الدُّنْيَا نُزِعَتْ مِنْهَا هَيْبَةُ اْلاِسْلاَمِ وَاِذَا تَرَكَتِ اْﻷَمْرَ بِالْمَعْرُوْفِ وَالنَّهْيَ عَنِ الْمُنْكَرِ حُرِمَتْ بَرَكَةُ الْوَحْيِ. (رواه الترمذي )

“Apabila umatku mengagungkan dunia, maka dicabutlah kehebatan Islam darinya. Dan apabila meninggalkan amar makruf nahi mungkar, maka terdindinglah keberkatan wahyu” ( HR. Termizi )

Mengapakah kalau umat Islam mengagungkan dunia serta berlumba-lumba untuk memperolehinya akan menjadikan mereka hancur serta hina dan tidak disegani lagi ? Ada tiga sebab :

1. tidak membelanjakan harta kekayaannya itu di jalan Allah S.W.T seperti menunaikan zakat, bersedekah, menolong orang-orang dalam kesusahan serta berbuat kebajikan menyebabkan nasib Umat Islam tidak akan terbela.

2. kerana cintakan dunia dan tidak mahu dikatakan ketinggalan zaman umat Islam sanggup meniru apa sahaja orang-orang barat buat walaupun bertentangan dengan Agama Islam sendiri. Dalam hal ini Nabi S.A.W bersabda :

عَنْ اَبِى سَعِيْدٍالْخُدْرِيِّ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ : لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍوَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتّٰى لَوْدَخَلُوْا فِى جُحْرِضَبٍّ لاَتَّبَعْتُمُوْهُمْ، قُلْنَا : يَا رَسُوْلَ اللهِ آلْيَهُوْدُ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ ؟. ( رواه مسلم )

“ Sesungguhnya kamu akan pasti mengikut perjalanan orang-orang yang terdahulu daripada kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga apabila mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu pasti akan masuk ke dalamnya juga”. Sahabat berkata “ Adakah mereka itu Nasrani dan Yahudi”. Nabi S.A.W menjawab “ Siapa lagi?”.

Hadis ini menunjukkan bahawa umat Islam akan menjadi sangat fanatik dengan orang-orang barat, Yahudi dan Nasrani sehingga mereka sanggup meniru apa sahaja orang-orang barat buat walaupun bertentang dengan ajaran Islam bahkan mereka berbangga dengannya. Umat Islam telah meniru orang-orang barat sama ada dari segi kelakuan, cara berpakaian, cara makan minum, cara bergaul dan cara berfikir. Tetapi yang sangat ketara dalam hal ini ialah pergaulan bebas tanpa batas dan hiburan yang melalaikan dan menghairahkan yang menyebabkan keruntuhan moral serta akhlak terutama di kalangan pemuda pemudi Islam.

Hari ini kalau ada umat Islam yang meniru atau mencontohi Nabi SAW sama ada dari segi kelakuan, cara berpakaian, cara makan minum, cara bergaul dan cara berfikir maka mereka akan memandang rendah serta menganggap mereka sebagai kolot, jumud dan ketinggalan zaman padahal sebaik-baik ikutan bagi umat Islam yang inginkan keselamatan dan kebahagian di dunia dan akhirat ialah Nabi SAW itu sendiri sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 21 :

لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ اْلآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

“ Sesungguhnya telah ada pada (diri Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu)bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”.

3. Orang yang cintakan dunia akan takut mati - mudah diperalatkan oleh bangsa-bangsa lain untuk menghancurkan Agama serta umat Islam sendiri, sanggup berbuat apa sahaja untuk mempertahankan pangkat dan kekayaannya walaupun menindas atau menzalimi umat Islam hatta ia sanggup berpihak dengan orang-orang bukan Islam. Sabda Nabi SAW :

عَنْ ثَوْبَانَ رَضِىَ الله ُعَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ : يُوْشِكُ اْﻷُمَمُ اَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَاتَدَاعَى اْﻷَكَلَةُ اِلَى قَصْعَتِهَا، فَقَالَ قَائِلٌ : وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ ؟ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيْرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُشَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزِعَنَّ الله ُمِنْ صُدُوْرِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ الله ُ فِى قُلُوْبِكُمْ الْوَهْنَ، فَقٰالَ قَائِلٌ : يَا رَسُوْلَ اللهِ وَمَاالْوَهْنُ ؟ قَالَ : حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَا هِيَةُ الْمَوْتِ. ( رواه ابوداود )

“ Akan datang suatu masa, umat lain akan memperebutkan kamu, ibarat orang yang lapar yang merebutkan makanan dalam hidangan. Maka berkata seorang : ‘ Apakah lantaran jumlah kami hanya sedikit pada waktu itu ?. jawab Nabi S.A.W : Bahkan, kamu pada waktu itu banyak, akan tetapi kualiti kamu ibarat buih yang terapung di atas air bah. Dan sesungguhnya Allah akan mencabut kehebatan kamu dari dada musuh-musuh kamu dan Allah akan mencampakkan dalam hati kamu al- wahan ( kelemahan dan kehinaan )’ Berkata seorang : ‘ Ya Rasulullah apakah itu al- wahan ?’. Baginda menjawab : ‘ Cintakan dunia dan takut mati’.

Fahaman anti tasawwuf dan tareqat menyebabkan umat Islam menjauhkan diri dari latihan kerohanian kerana takut tersesat jalan. Apabila umat Islam tidak bergaul dan mendekatkan diri dengan guru-guru kerohanian mereka tidak mendapat didikan kerohanian justeru nafsulah menguasai mereka.

Ketiadaan sistem didikan kerohanian di institusi-institusi tinggi pengajian Islam maka lahir dari institusi-institusi ini ulama serta intelek Islam yang alim pada lidah tetapi hati kosong daripada makrifatullah

- hanya mengajar ilmu pengetahuan tetapi tidak boleh memdidik jiwa umat Islam
- tidak dapat menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat makin ramai ulama makin rosak masyarakat umat Islam .

Padahal tugas mereka sebagai pewaris Nabi SAW, bukan sahaja mengajar ilmu pengetahuan tapi juga memberi didikan kerohanian. Firman Allah SWT dalam surah Jumaah ayat 2.

هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي اْلأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ 

“ Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajar kepada mereka kitab dan hikmah (As Sunnah).dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata”.

Apabila ulama boleh mengajar ilmu pengetahuan semata-mata maka jiwa umat islam tidak akan terdidik. Maka apabila mereka menjadi pemimpin maka rosaklah pimpinannya. Apabila ulama dan pemimpin Islam tidak lagi betul maka rosaklah masyarakat umat Islam. Sabda Nabi SAW.

صِنْفَانِ مِنْ أُمَّتِى إِذَا صَلُحُوْا صَلُحَ النَّاسُ وَإِذَا فَسَدُوْا فَسَدَ النَّاسُ: اَ ْلاُمَرَاءُ وَاَلْفُقَهَاءُ.

“ Dua golongan dari umatku apabila baik nescaya baiklah manusia semuanya apabila rosak nescaya rosaklah manusia seluruhnya iaitu Pemimpin dan Ulama”. ( HR. Abu Naim )

Negara-negara Islam bukan miskin tetapi adalah kaya raya. Allah SWT telah mengurniakan mereka berbagai sumber kekayaan di darat maupun di laut namun demikian majoriti penduduknya adalah miskin. Ini kerana para pemimpin disebabkan tidak mendapat didikan kerohanian telah menyalah gunakan pangkat dan kedudukan, harta kekayaan negara bagi kepentingan mereka sendiri sehingga nasib rakyat tidak terbela, yang miskin bertambah miskin yang kaya bertambah kaya.

Dengan penguasaan ilmu fadhu kifayah semata-mata tanpa didikan kerohanian menjadikan umat Islam hina dan ditindas. Adakah jalan lagi bagi umat Islam kembali menjadi mulia serta disegani oleh bangsa-bangsa lain. Kalau ada, bagaimanakah caranya ? caranya ialah umat Islam hendaklah kembali kepada Allah SWT sebagaimana Allah SWT anjurkan dalam surah Az-Zumar ayat 54 :

وَأَنِيبُوا إِلَى رَبِّكُمْ وَأَسْلِمُوا لَهُ مِن قَبْلِ أَن يَأْتِيَكُمُ الْعَذَابُ ثُمَّ لاَ تُنصَرُونَ

“ Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepada mu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)”

Cara seterusnya ialah sebagaimana firman Allah dalam surah Ali- Imran 103:

وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ

“ Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (Agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai”.

Iaitu kalau umat Islam ingin dimuliakan serta disegani hendaklah mereka melakukan tiga perkara :

1. Hendaklah berpegang teguh dengan Agama Islam dengan mengamalkan segala ajaran Islam dan melaksanakannya dalam semua jurusan hidup sepertimana dikehendaki oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 208 :

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ ادْخُلُواْ فِي السِّلْمِ كَآفَّةً وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

“ Hai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi mu”.

2. tidak bercerai berai - mempunyai kefahaman yang sama dalam memahami Agama Islam. Walaupun umat Islam berpegang teguh dengan undang-undang dan peraturan Islam mereka tidak akan bersatu kalau mempunyai fahaman berbeza-beza tentang Agama Islam. Ini menyebabkan mereka berpecah belah dan tidak berpadu sebagaimana sabda Nabi SAW :

وَالَّذِىْ نَفْسُ مُحَّمَدٍ بِيَدِهِ، لَتَفْتَرِقَنَّ اُمَّتِىْ عَلَى ثَلاَثٍ وَسَبْعِيْنَ فِرْقَةً، فَوَاحِدَةٌ فِى الْجَنَّةِ وَثِنْتَانِ وَسَبْعُوْنَ فِى النَّارِ، قِيْلَ : مَنْ هُمْ يَا رَسُوْلَ اللهِ ؟ قَالَ : اَحْلُ السُّنَّةِ وَالْجَمَاعَةُ. ( رواه ابى ماجه )

Demi Tuhan yang memegang jiwa Muhammad di tanganNya, akan berpecah umatku sebanyak 73 golongan, yang satu masuk syurga dan 72 daripadanya masuk neraka”. Bertanya para sahabat: “ Siapakah firqah ( yang tidak masuk neraka ) itu ya Rasulullah,?” Nabi SAW menjawab: “Ahlus sunnah Wal Jamaah)”. (HR Imam Thabrani)

Kalau umat Islam inginkan dihormati, disegani serta dimuliakan oleh bangsa-bangsa lain maka mereka hendaklah mengamalkan serta melaksanakan segala undang-undang dan peraturan yang terkandung dalam Agama Islam dalam kehidupan dan juga dalam pemerintahan mereka serta memiliki kefahaman yang sama tentang Agama Islam iaitu kefahaman Ahli Sunnah wal Jamaah kerana golongan ini sahajalah yang selamat. Ini bererti dalam masalah fekah Umat Islam hendaklah berpegang teguh dengan salah satu daripada empat mazhab. Manakala dalam masalah i’tikad hendaklah mereka berpegang kepada i’tikad Ahli Sunnah wal Jamaah iaitu itikad yang dipegang oleh Nabi SAW dan para sahabat Baginda.

3. Bertasawwuf.

Begitu juga umat Islam hendaklah bertasawwuf. Walaupun umat Islam berpegang teguh dengan Agama Islam serta mempunyai kefahaman yang sama kalau mereka tidak bertasawwuf maka tidak akan wujud kasih sayang yang sejati di kalangan mereka yang akhirnya akan tidak juga wujud perpaduan yang sejati dikalangan mereka. Ini kerana kalau umat Islam tidak mendapat didikan kerohanian maka nafsulah yang akan menguasai mereka. Justeru itu mereka akan cuba memiliki pangkat dan kedudukan, harta dan kekayaan walaupun terpaksa menindas serta menzalimi orang lain. Maka apabila mereka telah memiliki pangkat dan kedudukan mereka akan menyalah gunakannya untuk kepentingan diri mereka serta segelintir orang dan mempertahankannya walau dengan apa cara sekali pun.

Dengan ini akan hilanglah kasih sayang yang sejati diantara mereka yang akhirnya tidak akan wujud perpaduan yang sejati dikalangan mereka.

Justeru itu untuk mengelakkan keadaan ini berterusan maka hendaklah umat Islam kembali bertasawwuf. Ini kerana ilmu tasawwuf adalah merupakan ilmu yang menyentuh soal hati. Sedangkan soal hati itu adalah sangat penting kerana baik atau jahatnya seseorang adalah terletak pada keadaan hatinya. Kalau hatinya baik maka baiklah ia kalau rosak, rosaklah ia sebagaimana sabda Nabi SAW :

إِنَّ فِى الجَسَدِ مُضْغَةٌ اِذَا صَلُحَتْ صَلُحَ اْلجَسَدُ كُلُّهُ وَاِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ اْلجَسَدُ كُلُّهُ اِلا وهِىَ اْلقَلْبُ.

“ Di dalam tubuh manusia itu ada seketul darah. Jika ia bersih maka bersihlah seluruh jasad dan apabila ia rosak maka rosaklah sekian jasad itu. Ketahuilah iaitu ialah kalbu (hati) ”.

Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam surah Al A’la ayat 14- 15 :

قَدْ أَفْلَحَ مَن تَزَكَّىٰ  وَذَكَرَ اسْمَ رَبِّهِ فَصَلَّىٰ

“ Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang membersihkan diri (dengan beriman) dan ia ingat akan Tuhannya lalu ia sembahyang.”

Dan juga dalam Surah Asy-Syams ayat 9-10 :

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا  وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا 

“ Sesungguhnya telah menanglah orang yang membersihkan jiwanya dan rugilah orang yang mengotorinya ”.

Apabila umat Islam menjauhkan diri dari guru-guru kerohanian maka hati mereka tidak akan terdidik maka lalu nafsulah yang akan menguasai mereka.

Justeru itu untuk mengelakkan keadaan ini berterusan maka hendaklah umat Islam kembali bertasawwuf agar hatinya bersih daripada segala penyakit jiwa. Apabila hati seseorang bersih maka ia akan lebih dekat kepada Allah Taala dan akan mengenaliNya. Apabila ia telah mengenali Allah Taala maka ia akan takut melanggar perintahNya. Justeru itu kalau ia memiliki pangkat dan kedudukan, harta kekayaan ia akan gunakan untuk mencari keredhaan Allah Taala seperti menolong orang-orang miskin dan orang-orang dalam kesusahan dan berbuat kebajikkan. Kalau ia menjadi pemimpin maka nasib rakyat akan terbela.

Nyatalah ilmu tasawwuf mengambil peranan yang sangat penting dalam membentuk keperibadian yang luhur dan sejati yang sangat diperlukan lebih-lebih lagi di zaman ini.

Saudara saudari sekalian !

Sekali lagi ditegaskan kalau kita umat Islam ingin dihormati serta disegani oleh bangsa-bangsa lain hendaklah kita kembali berpegang teguh dengan segala undang-undang dan peraturan Islam dan melaksanakannya dalam semua aspek kehidupan serta dalam pemerintahan kita. Dan kedua hendaklah kita bersatu padu dengan mempunyai fahaman yang sama terhadap agama Islam iaitu hendaklah kita memiliki fahaman ahli sunnah wal jammah sama ada dalam bidang ilmu fekah atau Usuluddin serta hendaklah kita bertasawwuf dan bertarekat.

Apa yang saya sampaikan hari ini adalah merupakan kebenaran yang datangnya daripada Allah dan RasulNya. Saya tidak mempunyai niat untuk menghina sesiapa pun lebih-lebih lagi ulama dan pemimpin Islam tetapi semata-mata untuk menyedarkan umat Islam agar bangun daripada kelalaian mereka dan bersama-sama menegakkan kebenaran terutama di kurun ke 15 hijrah ini agar semua umat manusia selamat dunia dan akhirat.

Marilah kita berganding bahu untuk menjadikan agama Islam sebagai agama dunia. Bagaimana caranya untuk mencapai demikian maka kami telah terangkan dengan panjang lebar dalam kitab kami berjudul “ Agama Allah rahmat dan penyelamat bagi seluruh alam”. Cubalah miliki kitab ini.

Sebelum mengakhiri ceramah saya ini, saya ingin memetik apa yang dikatakan oleh Saidina Umar RA, Beliau berkata :

إِنَّا كُنَّا أذَلَّ قَوْمٍ فَأَعَزَّ نَالله ُ بِاْلاِسْلاَمِ فَمَهْمَا نَلْتَمِسُ الْعِزَّةَ بِغَيْرِهِ أَذَلَّنَا لله ُ

“Sesungguhnya kami dahulu adalah kaum yang paling hina, maka Allah memuliakan kami dengan Islam. Maka bilamana kami mencari kemuliaan selain daripada Islam maka Allah akan menghina kami.”

Marilah kita berdoa kepada Allah Taala agar kita sentiasa berada di jalan yang benar serta mendapat kasih sayangNya.

“Ya Allah! Tuhan sekalian alam, ampunilah dosa dan kesalahan kami dan memohon petunjuk akan Dikau agar semua umat manusia dijauhkan dari segala bahaya dunia dan akhirat. Ya Allah! Ya Tuhan kami, Engkaulah yang menciptakan kami, maka berilah kami taufik agar dapat berbuat kebajikan.

Ya Allah! Ya Tuhan kami, kepada orang-orang kafir berilah mereka petunjuk agar masuk Agama Islam, orang yang sempit rezeki luaskanlah rezekinya, orang yang sakit sihatkanlah, orang yang dalam kesusahan senangkanlah, orang yang sesat kembalikanlah ke jalan yang benar yang Engkau redhai.

Ya Allah, Ya Tuhan kami kurniakanlah kami kebahagian dan kesejethraan di dunia dan akhirat.

Mudah-mudahan semua umat manusia selamat di dunia dan akhirat”.

رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا اِنَّكَ اَنْتَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ وَتُبْ عَلَيْنَا اِنَّكَ اَنْتَ التَّوَّابُ رَّحِيْمُ. سُبْحٰنَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُونَ. وَسَلٰمٌ عَلَى الْمُرْسَلِينَ. وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعٰلَمِيَن.

اَللَّهُمَّ صَلِّى وَسَلِّمْ عَلٰى سَيِّدِنَا مُحَمَّدِ الْفَاتِحِ لِمَا اُغْلِقَ وَالْخَاتِمِ لِمَا سَبَقَ وَالنَّاصِرِ الْحَقِّ بِالْحَقِّ وَالْهَادِىْ اِلَى صِرَاطِ الْمُسْتَقِيْمِ وَعَلَى اَلِهِ وَصَحْبِهِ حَقَّ قَدْرِهِ وَمِقْدَارِهِ الْعَظِيْمِ .